selamat datang ke laman diary ADLINA...ia hanyalah luahan dan cerita hidupku serta bacaanku yang ku rasakan menarik...

Sunday, October 17, 2010

Sembang Lelaki

Isteri oh isteri...





Sejak di bangku sekolah, saya selalu tertanya-tanya, apa relevan dan munasabahnya peribahasa orang tua-tua kita, sayang isteri tinggal-tinggalkan. Bagi saya, kalau sayang, mengapa pula mesti ditinggalkan. Kalau sayang mestilah selalu duduk dekat-dekat. Kalau tak sayang, barulah jauh-jauhan.

Saya bangun untuk menulis pojok ini ketika tak lena tidur malam. Sudah dua hari isteri saya pergi outstation atas urusan kerja. Sepeninggalannya, barulah saya berasa hidup bersendirian setelah berumah tangga benar-benar susah.

Kalau dulu, hampir semua kerja rumah, kepada dialah saya serah. Selalu juga apabila anak kecil keriau tengah malam minta susu, saya pura-pura tidur mati dengan hajat isterilah yang bangun buat susu. Tapi dalam dua tiga hari ini, mahu tak mahu, terpaksalah saya yang ambil alih tugas itu.

Kalau dulu, balik dari kerja, ada saja yang saya berasa tak kena apabila melihat isteri tarik muka kepenatan. Sekarang wajah itulah yang paling saya rindukan! Kalau dulu, ada ketika saya mudah sangat berasa jauh hati - saja nak mengada-ada sebenarnya - sedangkan kesilapan yang dilakukan isteri amatlah kecil tapi apabila dia tidak ada di sisi, saya sungguh-sungguh berasa sunyi.

Kalau dulu, balik saja ke rumah, semuanya sudah siap tersedia di atas meja walhal isteri saya juga bekerja. Tapi dalam kelam kabut pulang dari tempat kerja, masih sempat juga dia siapkan makan malam. Dan kalau pun tak berkesempatan, dia juga yang singgah di mana-mana beli lauk pauk yang sudah siap. Saya hanya tahu pulang dan perabihkan!

Sekarang, apabila tinggal hanya saya dengan anak-anak, barulah saya sedar bahawa membuat itu semua bukanlah kerja yang mudah! Payah bahkan teramat payah! Kalau dulu, paling tidak dua hari sekali, pulang dari kerja dan sambil-sambil memasak, isteri saya masih sempat mencuci baju. Sekarang ini, kain baju saya biar bertimbun dan hanya sedia untuk melakukannya hanya pada hari cuti hujung minggu.

Kalau dulu, dalam kelam kabut dia bersiap nak keluar ke tempat kerja, masih sempat dia mengisi ruang yang suntuk itu dengan mengemas tempat tidur dan menyiapkan bekalan anak, saya pula – begitu saya tinggalkan waktu pagi, begitulah juga apabila saya kembali pada malam hari. Mungkin untuk saya, putaran jam atau bumi lebih laju berbanding isteri!

Bahkan pada hari pertama dulu, saya berasa keadaannya begitu tergesa-gesa hingga tidak sedar sarung pelekat cap gajah yang saya pakai untuk solat subuh, saya tinggalkan berlingkar di tengah-tengah rumah macam ular sawa kenyang. Setelah pulang lewat petang, barulah saya terperasan! Itulah!

Keadaan memang benar-benar berubah apabila isteri tiada di rumah. Segala-galanya buat saya jadi serba salah. Setelah beristeri dan tiba-tiba tinggal seorang diri untuk mengurus diri dan anak-anak memang susah lagi payah. Ia jauh beza dengan ketika hidup bujangan dulu.

Hari ini, setelah masuk tahun ke-12 berumah tangga, barulah saya dapat rasa relevannya peribahasa orang tua-tua kita. Rupanya dengan berjauhan, barulah kita mengenal erti rindu-rinduan, sayang-sayangan, dan susah payahan. Itu pun isteri saya pergi bukannya lama – 3 hari saja!

Resipi Hidup
Cinta bukan bahan diujikaji

“SETELAH MENGENALI A , SAYA AMAT TERTARIK PADANYA DAN PADA BULAN JANUARI, SAYA MENERIMA A LEBIH DARI SAHABAT. KAMI MENGIKAT JANJI UNTUK BERTUNANG PADA BULAN JUN DAN BERKAHWIN PADA BULAN DISEMBER NANTI. TAPI HAJAT KAMI TAK KESAMPAIAN KERANA CINTA KAMI PUTUS DI TENGAH JALAN.

'SEPANJANG BERCINTA, SAYA BANYAK MENGUJI A DENGAN PELBAGAI UJIAN YANG SAYA SENGAJA CIPTAKAN UNTUK MELIHAT KESABARAN, KESUNGGUHAN DAN KESETIAAN A PADA SAYA. SAYA BERSIKAP KASAR PADA A DAN TIDAK MENUNJUKKAN KASIH SAYANG SAYA PADANYA TAPI A MASIH BERSABAR DENGAN SAYA.

"AWAL FEBRUARI LEPAS SAYA MENGUJI A DENGAN MENGHANTAR MESEJ KEPADA LELAKI LAIN DAN BERPURA-PURA TERSILAP HANTAR PADANYA. A MASIH BOLEH BERSABAR DENGAN SAYA DAN TAK MENUNJUKKAN SIFAT CEMBURUNYA.

“Tapi pada 10 Februari saya sengaja menghantar mesej pada adik angkat lelaki yang baru saya kenal dengan kata-kata sayang, adik angkat saya juga membalas demikian. Saya sengaja menyimpan mesej tersebut dan sengaja meninggalkan telefon dalam kereta A supaya A membaca mesej tersebut. Saya ingin melihat kesungguhan cinta A pada saya.

"Tapi tindakan saya benar-benar bodoh, selepas berjumpa hari tu, A menyepikan diri dan menyatakan kepada saya bahawa kami tiada jodoh. Saya cuba menjelaskan segala-galanya pada A tapi tiada tindak balas daripada A. A mengatakan cinta saya tak sepenuh hati padanya.”

Di atas ini adalah petikan e-mel yang saya terima semalam. Kepada pengirim e-mel, maafkan saya kerana mengetengahkan masalah anda ke dalam ruangan ini. Tujuan saya hanyalah untuk orang lain yang mempunyai pendirian sama seperti anda turut sama mengambil teladan dan pengajarannya. Saya yakin, pembaca semua pernah dengar kata-kata: Cinta bukan mainan. Saya setuju, sungguh cinta bukannya mainan yang boleh diperlakukan sesuka hati.

Satu perkara yang perlu diingat juga, cinta bukan bahan uji kaji untuk anda menilai kesetiaan dan kejujuran seseorang. Seperti kes di awal tadi, si gadis mencintai A cuma enggan meluahkan perasaannya dan dalam masa yang sama berterusan menguji A untuk mengetahui sejauh mana kejujuran dan kesetiaan si kekasih. Tak salah menguji cuma jangan keterlaluan.

Saya tahu, bukan gadis ini sahaja yang menguji kekasih hati tetapi hampir semua pencinta menguji kesetiaan dan kejujuran kekasihnya. Ada yang menguji kesabaran kekasih. Seperti yang saya tegaskan, tak salah menguji tetapi jangan keterlaluan menguji.

Anda boleh menguji tahap kesabaran kekasih, sesekali bila berjanji, anda boleh datang lewat sedikit dan lihat bagai mana reaksi kekasih anda. Tetapi bukan selalu datang lambat, anda memang mencari masalah. Anda juga boleh menguji kejujuran kekasih tetapi bukan dengan cara sengaja menjadikan anda seorang yang curang.

No comments:

Post a Comment

 

aDLiNa Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal